Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Menurut pengerusinya Azhar Azizan Harun, pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.

"Kami sudah menerima notis kekosongan kerusi tersebut. Langkah susulan adalah seperti biasa dengan menetapkan tarikh writ pilihan raya selain hari penamaan calon dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.

Terdahulu, Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim dilaporkan telah menyerahkan notis kekosongan kerusi DUN tersebut.

Ia susulan penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada pukul 4.45 pagi Jumaat lepas (11 Jan) akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, tahun lepas, Allahyarham yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menewaskan tiga calon lain, Datuk Johan Abd Aziz (BN), Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan (PSM) dengan majoriti 8,964 undi.

Bakhtiar, yang juga Ketua Bahagian PPBM Hulu Langat, memperoleh 23,428 undi.