Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menerima pemakluman rasmi daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berhubung pembubaran DUN Sabah penggal ke -15.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata, berdasarkan Perkara 21 (4), Perlembagaan Negeri Sabah, pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran itu.

"Justeru itu, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut.

"Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh pihak SPR," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


BACA: Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan

BACA: Kronologi politik Sabah selepas PRU-14 sehingga pembubaran DUN


Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semalam mengumumkan DUN Sabah dibubarkan berkuat kuasa 30 Julai 2020.

Beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, permohonan pembubaran itu sudah diperakukan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Pembubaran DUN Sabah dibuat selepas Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, mendakwa sudah memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

BACA: Musa Aman tolak keputusan bubar DUN kerana bahayakan nyawa rakyat Sabah

BACA: Warta Kerajaan Negeri Sabah pembubaran DUN