Srikandi Bersatu akan memberikan fokus kepada pembangunan usahawan wanita bertaraf dunia agar sumbangan golongan itu terhadap ekonomi negara akan lebih signifikan.

Ketuanya, Datuk Seri Rina Harun berkata, ia memandangkan 70 peratus graduan institusi pengajian tinggi adalah golongan wanita.

“Inilah fokus Srikandi selepas Pilihan Raya ke-14, 'Mengisi Kemenangan' dengan meningkatkan kecekapan urus tadbir kerajaan dan parti. Memperkasa modul pendidikan dan menaik taraf ekonomi golongan wanita,” katanya semasa menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Srikandi Bersatu di sini hari ini.

Dengan kecanggihan teknologi internet dan robotik, wanita sudah tidak perlu lagi berhijrah jauh ke bandar untuk lahir sebagai “Usahawan Taraf Dunia”.

“'Wanita sinonim sebagai pengusaha kecil', maka hari ini Srikandi seharusnya berazam agar status ini bertukar menjadi 'Wanita sinonim sebagai usahawan taraf dunia' seperti Saidatina Khadijah,” tambahnya.

Ujar beliau, keusahawanan dilihat sebagai salah satu penyelesaian tepat dalam memecah kepompong kemiskinan dan kemunduran.

“Sesungguhnya di bawah Dasar Ekonomi Baru orang Melayu telah diberi banyak peluang dan bantuan supaya mereka dapat meningkatkan kejayaan mereka dalam perniagaan dan perusahaan. Namun itu bukanlah bermakna kita boleh merasa selesa,” kata Rina lagi.

Beliau juga berazam agar Modul Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang melibatkan lebih 220,000 anak-anak di bawah 6 tahun diformulasikan semula berasaskan budaya Hikmah, Hasanah dan Amanah.

“Saya berharap agensi kerajaan khususnya KEMAS dan MARA akan memulakan perubahan ini secara komprehensif dan bersepadu dalam jangka waktu tiga tahun ini. Semoga generasi akan datang menjadi generasi hebat dan berbudaya,” kata beliau.