Calon Bebas Stevie Chan Keng Leong menepis dakwaan kononnya beliau ditaja oleh individu berkepentingan termasuklah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson (PD).

Tegasnya, beliau bukanlah calon PRK yang 'ideal' untuk ditaja oleh mana-mana pihak berkepentingan.

"Ramai kata saya bertanding kerana ditaja oleh Azmin ( Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) la...Tun M (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) la...ada kata UMNO dan ada juga kata MCA.

Secara tegasnya saya menolak semua dakwaan tidak berasas ini...saya tak kenal mereka secara peribadi," katanya pada sidang media di Bagan Pinang, pada Rabu.

Chan menyifatkan beliau adalah berbeza dengan calon lain kerana tidak mempunyai bilik gerakan, berkempen dengan jentera yang dianggotai hanya lima orang sahaja dan mempersoalkan bagaimana pula timbul tanggapan beliau ditaja.

Sebelum ini, seorang lagi calon Bebas yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad turut menafikan dakwaan ditaja Perdana Menteri untuk bertanding pada PRK itu.

Stevie dan Mohd Isa adalah dua daripada lima calon Bebas yang menentang calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dalam saingan tujuh penjuru merebut kerusi parlimen itu.

Calon bebas lain ialah bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, Kan Chee Yuen dan calon wanita tunggal, Lau Seck Yan.

PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi itu pada 12 Sept lepas untuk memberi laluan kepada Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding sebagai Presiden PKR, bertanding untuk kembali ke Dewan Rakyat.

Pengundi Port Dickson terdiri daripada 43 peratus Melayu, 33 peratus kaum Cina, 22 peratus India dan lain-lain sebanyak dua peratus dari sejumlah 77,750 pengundi keseluruhan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi adalah pada 13 Okt ini, manakala hari pengundian awal 9 Okt.

-- BERNAMA