Barisan Nasional (BN) tidak berpeluang untuk menawan kerusi Parlimen yang menjadi kubu kuat DAP di pusat bandar raya Kuala Lumpur, akui Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN memberi indikasi tersebut dengan menyifatkan kerusi Parlimen seperti Bukit Bintang dan Seputeh sukar ditawan BN.

Jelas Ahmad Zahid, sekiranya Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan) bertanding menentang Teresa Kok di Seputeh, ia tetap akan dimenangi oleh Teresa.

"Tengku Adnan, kita ambil contoh seperti di Seputeh, letaklah Ku Nan di Seputeh, memang yang akan menang Teresa Kok juga. Tapi jika ia kekal di Seputeh, memang tidak ada masa hadapan.

"Tetapi Ku Nan sekarang Menteri Wilayah Persekutuan kerana ada tempat untuk beliau kerana ketokohan dia ini," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bintang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Jelasnya, walaupun kerusi Parlimen tersebut dilihat tidak mempunyai harapan, namun ketokohan seseorang pemimpin itu mampu menjadikannya sebagai pemimpin rakyat.

"Bukit Bintang, walaupun tidak ada masa depan, kerusi (Parlimen) yang ada memang sah orang lain (parti lain) punya, tapi ada tokoh Bukit Bintang yang jadi tokoh di peringkat nasional.

"Jangan lupa, dulu Datuk Seri Syed Hamid Albar, Ketua Bahagian UMNO Bukit Bintang tetapi kerana ketokohan itu menyerlah, ada tempat untuk dia bertanding di Kota Tinggi.

"Jadi jangan ingat bila tidak ada kerusi di tempat kita, kita tidak ada masa depan. Biarpun kerusi yang ada di Bukit Bintang ini kerusi kemalangan, kita kena ikhlas," katanya.

Ujar Ahmad Zahid, buat masa kini hanya empat kerusi Parlimen yang dipegang BN iaitu Titiwangsa dan Setiawangsa di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Johor Bahru, Johor.

Justeru, beliau mahu jentera semua parti komponen BN untuk terus bekerja kuat tanpa mempertikaikan calon yang diletakkan oleh kepimpinan parti di kawasan tersebut.