Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar keputusan perletakan jawatan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ditangguh sehingga perlantikan pengganti menteri besar yang baharu ditentukan.

Abdul Khalid Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu berkata, Sultan Selangor bertitah, ia bagi memastikan proses pertukaran menteri besar berjalan lancar dan teratur.

"Sultan Selangor juga minta lebih dari dua nama bagi memudahkan Baginda menentukan calon berkelayakan yang akan dilantik menjadi calon menteri besar," katanya ketika sidang media di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini.

Katanya, kenyataan itu dibuat selepas menghadap Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan sejurus sebelum sidang media berkenaan.

Ketika membacakan kenyataan istana, Abdul Khalid menjelaskan, sultan Selangor turut menitahkan pemimpin PAS, PKR dan DAP mencadangkan lebih daripada dua nama sebagai calon menggantikan Abdul Khalid.

"Ini sejajar dengan konvensi yang telah diamalkan secara berterusan dalam pelantikan menteri besar Selangor sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataannya, Abdul Khalid menjelaskan sudah menyembah maklum bahawa dinamik politik di negeri Selangor kian meningkat dan menimbulkan keresahan rakyat.

"Demi kelangsungan kestabilan politik di negeri Selangor, saya telah kemukakan kepada Sultan Selangor hasrat untuk meletak jawatan," ujarnya.

"Saya juga telah memohon maaf kepada Tuanku atas suasana politik masa kini yang telah menyebabkan pihak istana terheret sama dalam kemelut pentadbiran di negeri ini," ujarnya.

Abdul Khalid juga berharap, semua pihak terutama ahli politik, media dan pengguna media sosial mengelak membuat kritikan yang menjurus untuk memperkecilkan peranan mana-mana pihak terlibat terutama institusi beraja dan raja-raja Melayu.

"Biarpun kita menghormati prinsip demokrasi yang memberi kebebasan bersuara namun adab, tatatertib dan hak-hak Sultan Selangor bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor perlu dihormati demi kesejahteraan negeri

"Saya serahkan kepada kebijaksanaan Sultan Selangor untuk mencari penyelesaian terbaik sekaligus mengembalikan kepercayaan rakyat kepada pemerintah, institusi beraja dan pentadbiran awam." jelasnya.

Sebelum ini, Abdul Khalid dilaporkan menyifatkan dirinya amat bernasib baik kerana diberi peluang dan kepercayaan berkhidmat untuk rakyat Selangor sejak menerajui tampuk pentadbiran pada Mac 2008.