Hala tuju UMNO tidak akan ditentukan oleh personaliti tertentu, namun ia ditentukan majoriti ahli-ahlinya, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Pada masa sama beliau menegaskan, UMNO tidak bergantung kepada 'drama' untuk meneruskan kelangsungan parti keramat Orang Melayu itu.

"Survival parti UMNO tidak bergantung kepada 'drama'," katanya dalam sidang media sempena Taklimat Persiapan Banjir Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan menyifatkan apa yang dihadapi parti keramat Orang Melayu itu pada masa sekarang adalah lebih baik berbanding sebelum ini.

"Sejarah telah menunjukkan ahli kita (UMNO) tidak terikut-ikut dengan emosi atau isu-isu semasa. (Termasuk dari) zaman Tun Hussein Onn sehingga pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu apabila orang sudah turun ke jalanan.

"Seperti saya sebut dalam temu bual saya baru-baru ini, bahawa akhirnya ahli-ahli kita sentiasa meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan, dan apa yang kita hadapi hari ini tidak segetir apa yang kita lalui sebelum ini," tegas beliau.

Bagaimanapun katanya, perkara itu tidak bermakna UMNO tidak perlu bertindak pro-aktif dalam menyelesaikan sebarang isu atau perkara yang mungkin timbul.

"Namun, keadaan itu tidak bermakna tidak ada perkara yang membimbangkan. Jika hendak kata ini merupakan suatu yang unik dalam sejarah UMNO, itu saya tidak setuju," tegas beliau.

Ditanya kenyataan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad bahawa beliau akan hadir ke Perhimpunan Agung UMNO Disember ini, jelasnya, ia bukan masalah bagi parti itu.

"Yang penting sekarang apa jua tindakan kita, hadir atau tidak, atau sama ada kita ada pendirian tertentu secara peribadi, ia tidak akan menjejaskan parti.

"Kita jawab-menjawab menjelang Perhimpunan Agung UMNO tidak akan membawa apa-apa perkara membina.

"Saya tidak setuju beberapa perkara orang di luar sana termasuk Tun Dr Mahathir kerana beliau pun pernah memimpin parti kita sebelum ini. Sebelum ini, semasa saya Ketua Pemuda (UMNO) dulu tuduhan yang sama dilemparkan terhadapnya," tambahnya.