Parti Keadilan Rakyat akan memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mencabar kesahihan Pilihan Raya Umum ke-13 susulan laporan akhbar The Wall Street Journal yang mendakwa dana daripada 1Malaysia Development Berhad digunakan untuk kempen pilihan raya.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam satu kenyataan berkata saman itu akan difailkan secepat mungkin. Pada masa yang sama, beliau juga mengarahkan semua wakil jawatankuasa pilihan raya negeri parti itu untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada hujung minggu ini.

"Tindakan mahkamah ini akan menjadi pemangkin ke arah pembatalan kerusi-kerusi yang dimenangi oleh UMNO dan Barisan Nasional di pilihan raya yang lepas," katanya.

PKR juga katanya bersedia mempertahankan kerusi-kerusi yang ia menangi sekiranya mahkamah memutuskan keseluruhan PRU-13 dianggap tidak sah dan terbatal.