"RAMAI yang fikir saya patut terus berada dalam barisan kabinet. Tapi saya bersyukur kepada Allah saya tidak lagi dalam barisan kabinet. Lihat sahaja dunia hari ini, saya rasa saya tak boleh nak handle," kata Tan Sri Syed Hamid Albar mantan anggota majlis tertinggi UMNO.

Bekas pemimpin politik berusia 73 tahun ini meneruskan bicara dengan berkata pemimpin yang ada sekarang perlu bijak menangani generasi muda yang kini mewakili 60 peratus daripada populasi negara.

Ledakan maklumat yang dipenuhi dengan berita dan maklumat palsu yang tular dengan cepat serta mudah mempengaruhi pemikiran rakyat antara cabaran utama pemimpin-pemimpin yang ada sekarang tidak kira di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Bagi saya pengalaman perjalanan 60 tahun ini semuanya di hujung jari, perlu difikirkan bersama apakah legasi yang ingin ditinggalkan kepada negara.

"Jadi pemimpin hari ini harus yakin dengan apa yang Tuhan beri kepada kita, jangan mengadu kerana pasti ada hikmahnya," katanya yang berpengalaman 20 tahun dalam barisan kabinet di bawah tiga perdana menteri.

Beliau berkongsi liku dan ranjau yang dilaluinya dalam arena politik dalam ceramah Legasi 60 Tahun Merdeka dan Pembinaan Negara Bangsa di Bernama di sini, baru-baru ini.

TIDAK TERLINTAS UNTUK MUNCUL AHLI POLITIK

Bukan seperti ayahnya Allahyarham Syed Jaafar Albar, Syed Hamid tidak pernah terfikir menceburi bidang politik. Bekas ahli Parlimen Kota Tinggi ini sejak kecil hanya berminat untuk menjadi seorang peguam.

Ini kerana ketika itu beliau berpandangan polis tidak menjalankan tugas mereka seperti yang sepatutnya dan memerlukan undang-undang untuk mempertahankan apa yang beliau percaya sebagai hak orang ramai.

"Persepsi itu timbul apabila polis telah menahan saya disebabkan mercun yang dimainkan oleh orang lain. Ia telah membina satu persepsi negatif terhadap polis.

"Hingga hari ini pun dunia ini dipenuhi persepsi terutama dalam politik sendiri," kata bekas Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang baharu bersara pada Jun lepas.

Berjaya memiliki ijazah undang-undang dari Inns Of Court, London pada 1970, Syed Hamid melihat semangat nasionalisme di Malaysia sebagai legasi yang harus tertanam pada jiwa setiap warganegara.

PERJALANAN POLITIKNYA

Walaupun ayahnya Syed Jaafar adalah antara orang kuat UMNO dalam memperjuangkan kedudukan orang Melayu, anak kepada pemimpin UMNO ini yang mendapat jolokan "Singa UMNO" pula pada awalnya lebih cenderung kepada kerja-kerja sosial.

Peguam dengan kelayakan undang-undang daripada Inns Of Court, London ini mahu menabur jasa dengan caranya tersendiri. Beliau memilih untuk membantu mereka yang memerlukan pembelaan di Bukit Bintang.

Di Bukit Bintang terutama sekitar 1980-an, banyak isu setinggan dan peniaga yang memerlukan pembelaan. Pada waktu petang, beliau akan mengadakan kelas percuma kepada peniaga-peniaga di Bukit Bintang bagi mengajar mereka akan cara-cara mendaftar perniagaan dan membuat pinjaman bank.

Melihat kebolehannya dan merupakan anak bekas pemimpin UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri ketika itu, menawarkannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Benut, Johor yang kini dikenali sebagai Simpang Renggam.

Beliau bersetuju untuk bertanding sepertimana yang dicadangkan dan setelah segala persiapan dibuat termasuk mengambil gambar untuk poster dan menempah pakaian, namanya digugurkan untuk memberi laluan kepada Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail iaitu anak sulung kepada seorang lagi tokoh politik negara Tun Dr Ismail Abdul Rahman.

Mengetepikan jauh rasa kecewa, beliau turun padang membantu Mohamed Tawfik berkempen hingga larut malam masuk ke kampung-kampung demi memastikan kemenangan Barisan Nasional.

"Orang sekarang saya fikir bila nama dah dicalonkan, dah buat persiapan semua... bila tak dapat bertanding pasti akan kecewa dan akan lompat ke parti lain.Saya tak masuk parti lain sebab saya percaya itu bukan rezeki saya," katanya.

BANYAK PENGAJARAN BAGINYA

Tetapi semua itu ada hikmahnya. Banyak akhbar menjadikannya bahan berita dengan memuji kesungguhannya dalam berkempen untuk membantu kemenangan Tawfik. Tun Dr Mahathir pula tidak serik untuk menawarkannya bertanding dalam pilihan raya seterusnya dan kali ini mencalonkan beliau di kawasan kampungnya, di Kota Tinggi, Johor.

"Semasa bertanding pada tahun 1990, saya guna pendekatan turun ke akar umbi bertemu orang tua di kampung-kampung yang saya kenali sejak kecil dan ada yang dianggap guru atau sifu bagi mendapatkan sokongan.

"Waktu itu tidak ada perjuangan peribadi. Saya tinggalkan legasi di mana kita tahu di mana sejarah kita, kita tahu di mana kita ditubuhkan , kita faham sejarah politik, ekonomi dan sosial untuk masa hadapan agar kita tidak lagi melihat diri kita dengan perbezaan kaum," katanya.

PERLU BALIK KE PERJUANGAN ASAL

Mengenai pilihan raya ke-14 yang bakal diadakan bila-bila masa sebelum pertengahan 2018, Syed Hamid agak bimbang dengan pemerhatiannya.

Bagi beliau, politik sudah menjadi medan memperjuangkan kepentingan peribadi. Senario ini sangat berbahaya kepada kelangsungan pengamal politik di negara ini. Bagi beliau ada baiknya kita mencontohi golongan politik terdahulu.

Prinsip yang diamalkan orang terdahulu perlu dijadikan contoh seperti zaman awal penubuhan UMNO. Perbezaan pendapat seperti yang berlaku antara allahyarham bapanya dengan Tunku Abdul Rahman tidak memecahkan parti.

"Dahulu entah berapa kali orang tua saya bergaduh dengan Tunku kerana tidak bersetuju dengannya tetapi beliau tidak pernah meninggalkan UMNO sehingga meninggal dunia ketika memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO," katanya.

Satu lagi perkara yang menyedihkan beliau adalah setelah 60 tahun mencapai kemerdekaan, masyarakat masih memperkatakan soal kaum dan tidak menganggap diri sebagai rakyat Malaysia.

"Kita masih ditakut-takutkan antara satu kaum dengan kaum yang lain sedangkan negara jiran Indonesia sudah ke hadapan dalam soal bangsa Indonesia, begitu juga Singapura," katanya.

Negara kita masih lagi dengan politik perkauman dan inilah kelemahan yang kita tidak dapat atasi sampai sekarang, katanya pendidikan memainkan peranan penting mencorakkan wajah sebenar Malaysia.

"Jika ditanya pada saya, sudah tentu saya katakan kita hanya perlukan satu jenis sahaja sekolah yang akan membentuk budaya dan wajah sebenar Malaysia," kata beliau akan pendapatnya.

-- BERNAMA