Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diminta segera menyelesaikan 'drama' kononnya beliau cuba dibeli oleh individu tertentu yang bermotifkan politik.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu juga harus segera merungkai tuduhan ahli keluarganya diancam oleh pihak yang tidak diketahui.

"Drama dan plot drama yang dibuat Syed Saddiq ini adalah amat serius dan Pemuda UMNO Kedah mahu beliau mendedahkan segera pihak yang bertanggungjawab.

"Malah, apa yang perlu dilakukan Syed Saddiq adalah segera melaporkan pertuduhan ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membuktikan kebenaran dakwaan tersebut," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Syed Saddiq sebelum ini mendakwa beliau ditawarkan RM5 juta untuk meninggalkan parti itu dan menyambung pengajiannya di Universiti Oxford.

Shaiful menegaskan, Pemuda UMNO Kedah masih menunggu tindakan Syed Saddiq untuk membuktikan setiap pertuduhan yang dibuat.

Katanya, Syed Saddiq tidak perlu lantang dan meninggikan suara ketika sidang media 'hambar' sebaliknya tampil dengan bukti kukuh mengenai tuduhan yang didakwa.

Dalam pada itu, beliau hairan dengan tindakan beberapa pemimpin atasan PPBM yang dilihat membisu tanpa membela atau mendokong pendedahan dibuat Syed Saddiq.

"Mana perginya Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir apabila isu ini didedahkan Syed Saddiq. Mereka berdua dilihat tidak memberi sokongan ketika Ketua Armada parti itu membuat sidang media mengenai pendedahan tersebut," katanya.