Ketua Armada Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diingatkan agar tidak membela ketuanya hingga sanggup menderhaka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pegawai Tugas-Tugas Khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor mengingatkan Syed Saddiq bahawa kesetiaan kepada raja dan negara perlu diletakkan sebagai perkara teratas, dan tidak perlu dikaitkan dengan sebarang pertikaian politik.

Rizal juga mengingatkan bahawa menegur secara terbuka bukan budaya Melayu lebih-lebih lagi kepada institusi istana yang menjadi tonggak kedaulatan Perlembagaan Negara.

Hujah beliau, mana mungkin seorang Sultan yang disegani dan dihormati boleh salah faham, sedangkan ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor sendiri yang memutuskan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad itu salah dan membuat saranan supaya tindakan undang-undang diambil.

"Wajarkah anak muda yang baru setahun jagung menyertai politik membuat teguran sedemikian ke atas seorang Sultan yang memerintah negeri Selangor dan banyak berjasa kepada rakyatnya?

"Saya takut jika tindakan seperti Syed Saddiq ini dibiarkan, lebih ramai individu yang akan menulis warkah terbuka kepada institusi beraja di negara ini sehingga hilang rasa setia dan hormat ke atas Raja-Raja Melayu di negara ini."

BACA: Tergamak 'Orang Itu' mencerca keturunan Bugis - Najib

Pada Khamis, Syed Saddiq menulis surat terbuka kepada Sultan Selangor, untuk mempertahankan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad susulan kenyataan dikeluarkan Dewan Diraja Selangor yang ingin pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu disiasat kerana menghina masyarakat Bugis.

Jelas Syed Saddiq, frasa “lanun Bugis” itu hanya ditujukan kepada Perdana Menteri Najib Razak, bukannya seluruh keturunan Bugis.

BACA: Dakwaan hina Bugis: 'Saya tidak akan minta maaf' -Tun Mahathir

Sebelum itu, dalam satu kenyataan media, Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais berkata Dr Mahathir dilihat seolah-olah menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, merendahkan dan melihat masyarakat Bugis dengan penghinaan.

Ia turut mahu bekas perdana menteri itu disiasat di bawah Akta Hasutan kerana perkara itu.

"Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor menganggap ucapan berkenaan (oleh Dr Mahathir) amatlah keterlaluan dan boleh mencetuskan perasaan benci dan prasangka buruk rakyat terhadap bangsa Bugis sehingga boleh mencetuskan kekecohan dan huru-hara," kata kenyataan itu.