Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan ketidakhadiran beliau di majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ke-72, kerana terikat pada komitmen lain.

Menurutnya, terdapat program telah disusun atur sejak awal yang memerlukan kehadirannya.

Sehubungan itu, tiada keperluan untuk membuat sebarang spekulasi berhubung ketidakhadiran beliau di persidangan itu.

“Saya terikat dengan majlis konvokesyen yang diatur lebih awal. Kelaziman saya memang hadir berikan ucaptama di sini, setiap tahun,” katanya, pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Istiadat Konvokesyen Kolej Islam Darul Ulu (KIDU) ke-14, hari ini.

Menurutnya, susulan itu Pas menghantar wakilnya terdiri daripada Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta Ketua Pemudanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

BACA: Kehadiran Najib Razak disambut sorakan ahli UMNO

BACA: Pemimpin UMNO hadir Muktamar Pas, ini respons Hadi

“Saya ada terima jemputan daripada UMNO, cuma ada program di Kedah,” katanya.

Kehadiran pemimpin Pas di persidangan itu dilihat sebagai kunjungan balas selepas pimpinan UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir pada majlis perasmian Muktamar Pas ke-64, 15 September lalu.