Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sabah dilihat sudah semakin stabil.

Ia sekali gus tolak kemungkinan berlakunya penghijrahan oleh ahli PKR untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri itu.

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Prof Madya Awang Azman Awang Pawi berpandangan, hala tuju PKR di Sabah sudah jelas berbanding penubuhan Bersatu yang masih menjadi tanda tanya.

"Senario ini berbeza dengan apa yang pernah berlaku sebelum ini di mana pada 2016, PKR di Sabah masih belum stabil.

"Namun kini, PKR yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih tegas pimpinannya sudah semakin jelas hala tuju parti itu di Sabah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Justeru, jelasnya tidak ada kemungkinan ahli PKR akan berhijrah ke Bersatu.

"Ada dua sebab mengapa mereka tidak akan berhijrah kerana, pertama, penubuhan Bersatu di Sabah masih belum jelas. Kedua, keputusan penubuhan Bersatu di Sabah hanya dibincangkan di peringkat bawah dan belum sehingga tahap pimpinan tinggi," ujarnya.

Bagaimanapun, jelas Awang, sekiranya penghijrahan itu berlaku, ia bakal menimbulkan konflik antara parti komponen Pakatan Harapan (PH).

"Sudah pasti sekiranya apabila berlaku lompat parti ia akan menimbulkan perasaan tidak tenang antara parti komponen PH.

"Ia juga akan menyebabkan parti kompenen bertelagah sehingga berlakunya perpecahan parti," katanya.

Pada Selasa, bekas presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi jaminan tiada kebimbangan risiko ahli PKR melompat parti jika Bersatu menubuhkan cawangannya di Sabah.

Bagaimanapun, menurut beliau, ia terpulang kepada keputusan mana-mana individu berlandaskan demokrasi yang diamalkan.

BACA: Tiada risiko ahli PKR lompat ke Bersatu