MCA mengumumkan anggota jawatankuasa parti bahagian Bangi, Tan Chee Teong sebagai calonnya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, 8 Sept ini.

Ia diumumkan Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Wisma MCA, di sini, hari ini.

"Walaupun beliau (Tan) tidak memegang jawatan tinggi dalam MCA, namun beliau merupakan calon paling sesuai kerana merupakan anak kelahiran Balakong dan menjadi aktivis daripada peringkat akar umbi.

"Jadi MCA menampilkan seorang yang bertenaga, berwibawa, mengetahui semua masalah yang berlaku dalam kawasan serta tidak pernah lari daripada tanggungjawabnya," katanya berhubung calon berusia 40 tahun itu.

MCA akan menggunakan lambang partinya sendiri pada PRK itu.

Kerusi DUN Balakong kosong susulan kematian penyandangnya, Eddie Ng dalam nahas jalan raya pada 20 Julai lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Ng yang mewakili DAP menewaskan dua pesaingnya iaitu calon Barisan Nasional Lim Chin Wah dan calon PAS Mohamad Ibrahim Ghazali dengan majoriti 35,538 undi.

-- BERNAMA