Pemimpin UMNO di setiap peringkat perlu cekap mengurus persepsi yang dilemparkan pembangkang kepada Perdana Menteri bagi memastikan rakyat terutama orang Melayu kekal memihak kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, pembangkang termasuk kumpulan anti-UMNO kini giat melancarkan serangan persepsi dengan memutarbelit beberapa fakta bagi mencemarkan reputasi pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sebagai pemimpin UMNO, menjadi kewajipan kita untuk mempertahankan kedudukan Perdana Menteri dengan mencari kaedah terbaik bagaimana untuk menguruskan persepsi jahat pembangkang supaya pentadbiran kerajaan berjalan lancar.

"Mereka mainkan isu-isu sensasi walaupun sekadar pembohongan fakta supaya rakyat mempercayainya sebagai satu kebenaran, persepsi awalnya tampak seperti betul walaupun kemudiannya ada penafian.

"Pembangkang dan pihak tertentu sedang berusaha membina persepsi buruk bagi menggambarkan situasi politik negara yang tidak stabil dengan kepimpinan Najib yang juga Presiden UMNO berada dalam keadaan lemah," katanya dalam catatan terbaharu di dalam blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Jelas Syed Ali, Perdana Menteri telah ditekan dan diasak dari segenap penjuru dengan pelbagai tuduhan serta laporan tidak berasas menerusi persepsi yang dirancang secara tersusun.

"Inilah strategi pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan. Portal-portal berita termasuk laman-laman sosial juga dijadikan medium terpenting untuk mencorakkan persepsi liar bagi memburukkan pentadbiran kerajaan dan pemimpin UMNO.

"Kadangkala isunya tidak seberapa, ada yang kurang jelas dan tidak berfakta, tetapi telah diviralkan menerusi laman-laman sosial untuk memburukkan imej pemimpin UMNO," tegasnya.

Gejala seperti itu ujar Syed Ali perlu ditangani secara lebih berkesan bagi menyelamatkan masa depan UMNO dan kedudukan pemimpin sedia ada daripada berterusan menjadi mangsa fitnah pihak berkepentingan.

"Menyedari itu, segenap lapisan kepimpinan UMNO di setiap peringkat termasuk sayap-sayapnya perlu bijak mengurus persepsi sedemikian bagi memelihara keyakinan rakyat terhadap kerajaan tidak goyah.

"Menjadi tanggungjawab dan kewajipan setiap lapisan pemimpin UMNO untuk sentiasa berhemah dengan rakyat dan tidak meletakkan diri mereka sebagai manusia yang sentiasa perlu disanjung.

"Kadangkala ada pemimpin jadi sombong, minta disanjung dan bersifat angkuh sehingga mencetuskan rasa benci rakyat, ini akan menyebabkan kebencian itu akan membawa musibah kepada parti," tegasnya.

Katanya, pemimpin dipilih oleh rakyat dan atas kesedaran itu sepatutnya mereka lebih memberikan masa untuk menabur khidmat bakti kepada masyarakat yang diwakili.

"Kita tidak mahu pemimpin dilihat 'terlebih' mesra hanya sewaktu dekat pilihan raya. Denyut nadi UMNO adalah daripada rakyat terutama golongan akar umbi dan di kawasan luar bandar," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali turut mengingatkan ahli-ahli UMNO agar tidak leka dan mengambil mudah perkembangan parti-parti pembangkang yang berada dalam keadaan bercelaru.