Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin pada Selasa mencadangkan penangguhan pemilihan parti itu selama sebulan bagi memperkemaskan sistem undian e-voting.

Beliau yang juga Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan turut mencadangkan agar PKR meletakkan pakar di setiap stesen mengundi sebagai jalan penyelesaian kepada masalah teknikal yang mengganggu proses pemilihan parti itu baru-baru ini.

“Saya minta agar e-voting diperkemaskan dan ada pakar ‘IT programmer’ patut ada di tempat stesen mengundi. Pakar ini patut diadakan di tempat stesen mengundi yang akan uruskan perkara teknikal.

"Kalau perlu parti itu tangguh satu bulan kita tengok kebolehan parti mengurus,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Menurut Zuraida, jika parti tidak mampu untuk memperkemaskan sistem e-votingnya, maka cara lama mengundi harus kembali diguna pakai.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai isu e-voting yang melanda pemilihan parti itu baru-baru ini.

Semalam, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berkata PKR akan mengadakan mesyuarat majlis pimpinan parti MPP bagi membincangkan perkara tersebut.

Zuraida berkata cadangan itu akan dibangkitkan oleh beliau pada mesyuarat biro politik malam ini.