Ahli Majlis Tertinggi Pimpinan Parti Pribumi Bersatu malaysia (Bersatu), Abu Bakar Yahya mendesak pemimpin Pas agar mendedahkan perkara sebenar di sebalik keputusan menarik balik saman terhadap editor Sarawak Report Claire Rewcastle Brown.

Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri berkata keputusan yang dibuat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu sangat pelik kerana pada 1 Mei 2018 beberapa pemimpin parti itu mendakwa telah mendapat kejayaan awal selepas memenangi lima permohonan interlokutori dalam kes saman fitnah terhadap Brown.

"Sebelum PRU14, gempak-gempita dihebahkan bahawa Pas dan Presidennya (Abdul Hadi) berjaya menebus maruah setelah menang saman fitnah ke atas Claire Rewcastle-Brown atas dakwaan menerima dana RM90 juta sebagai usaha untuk menarik sokongan parti itu menyokong Barisan Nasional dan UMNO.

"Namun, tiba-tiba sahaja Pas dan Presidennya dilapor telah mahu selesaikan kes itu di luar mahkamah. Kalau artikel Sarawak Report itu fitnah, mengapa dalam terma penyelesaian, artikel itu masih dibenarkan ... kenapa tak mintak padam dan bukankah artikel itu punca Pas dan Presidennya memfailkan saman di London?.

"Mengapa Pas tidak teruskan tuntutan di mahkamah termasuk memanggil saksi untuk mengukuhkan hujah mereka?. Mengapa pula Pas dan Presidennya memilih untuk selesaikan di luar mahkamah," soal beliau.

Abu Bakar juga berkata alasan penyelesaian luar mahkamah itu dibuat kerana mahu mengelak pembaziran sebagai tidak masuk akal.

"Pas sentiasa bercakap soal maruah parti dan Presiden mereka, tetapi mereka tidak sanggup menanggung kos untuk mempertahankan parti dan pemimpin mereka sendiri," katanya lagi.