Barisan Nasional (BN) akan terus menepis segala fitnah dan tohmahan pihak tertentu di media sosial melalui pendekatan 'turun padang'.

Calon BN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya, Abu Bakar Sidekh Zainul Abidin, berkata hanya gerak kerja bersemuka dengan pengundi mampu menepis fitnah terhadap parti itu yang sering kali dilakukan di media sosial.

"BN sentiasa turun padang bagi menjelaskan kepada rakyat mengenai apa sahaja isu yang dimainkan pembangkang. Segala tohmahan juga dijawab melalui gerak kerja membantu rakyat peringkat akar umbi," katanya kepada Astro AWANI.

Abu Bakar pada masa sama, mengakui media sosial amat penting untuk berhubung dengan rakyat terutama golongan muda yang menjadikan platform itu sebagai medium mendapatkan maklumat.

"Media sosial ini ada positif dan negatif. Perkara positif yang saya lihat adalah banyak maklum balas daripada golongan muda.

"Setakat ini pihak kita menggunakan sebaik-baiknya platform ini untuk mendengar segala perkara berkaitan orang muda," katanya lagi.

Sementara itu, calon PKR DUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin menjelaskan media sosial merupakan platform utama buat dirinya bagi mendekati golongan muda.

"Saya aktif di Twitter, Facebook dan Instagram. Saya menggunakan semua ini bagi mendekati rakyat yang secara tidak langsung menghubungkan saya dengan masyarakat," katanya.


Analisis panel penyelidik Universiti Malaya sebelum ini melaporkan lebih 35 peratus penduduk di Parlimen Permatang Pauh memperoleh maklumat politik melalui aplikasi WhatsApp sementara 75 peratus di laman media sosial Facebook.