Badan Perhubungan UMNO Perak menyifatkan kenyataan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang kononnya Pakatan Harapan amat yakin untuk menawan Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), tidak lebih daripada angan-angan dan harapan palsu.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, ia semata-mata cubaan Kit Siang untuk memberikan keyakinan kosong kepada pengikut pakatan pembangkang.

Menurut beliau, ia jelas dilihat apabila dalam kenyataannya, pemimpin veteran DAP itu berulang kali menggunakan istilah 'jika' (if).

"Contohnya dia kata, 'jika PAS bertanding dan menjadi penganggu undi', 'jika berlaku pertandingan tiga-penjuru' dan pelbagai keadaan yang menggunakan perkataan 'jika'.

"Ini menunjukkan beliau sendiri sedang berada di awang-awangan dan tidak yakin dengan hipotesis beliau sendiri dan dari segi psikologinya, ia bermakna Kit Siang sendiri tidak yakin dengan ramalan beliau sendiri," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Sambil merujuk kenyataan pemimpin DAP itu dalam satu ceramah di Parit Buntar minggu lalu, Saarani berkata, Kit Siang cuba menggunakan pendekatan reverse psychology mengenai keadaan sebenar yang akan berlaku pada PRU14 di negeri Perak.

Menurutnya, berdasarkan simulasi yang dijalankan, Barisan Nasional (BN) yakin akan mendapat 39 kerusi manakala pakatan hanya akan mendapat 20 kerusi.

"Ini berdasarkan pertambahan pengundi Melayu yang menyokong Barisan Nasional yang meningkat sebanyak 10 peratus di samping penambahan 5 peratus pengundi bukan Melayu," jelasnya.

Beliau menambah, kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pula telah menampakkan hasilnya dan rakyat mula merasai kesejahteraan yang dilaksanakan melalui visi Perak Aman Jaya.

Katanya, jentera BN Perak sudah memulakan gerak kerja pilihan raya sejak 2014 lagi berdasarkan post-mortem keputusan PRU13, telah mengatur serta melaksana strategi yang lebih mantap bagi mengatasi dakyah serta dasar politik kebencian yang ditanam oleh DAP serta sekutunya.

"Kita semua tahu perangai dan taktik Kit Siang, yang menggunakan taktik alih-pandang bagi menutup kelemahan pakatan yang sentiasa berkecamuk serta berdepan krisis kepimpinan.

"Buktinya sehingga kini, mereka tidak dapat mencapai konsensus yang nyata dalam mengenal pasti siapakah sebenarnya yang menjadi pemimpin utama mereka," ujarnya.

Dari segi rekod, kata Saarani, Kit Siang juga dikenali dengan pemimpin yang sering berpindah-randah dalam bertanding pada pilihan raya, lebih-lebih lagi apabila tembelangnya pecah dan terbukti tidak mampu untuk memberi perkhidmatan.

Untuk rekod, pemimpin kanan DAP itu pernah bertanding Bandar Melaka (1969), Kota Melaka (1974); Petaling Jaya (1978); kemudian pulang semula ke Kota Melaka (1982); Tanjong (1986); Ipoh Timur (2004); dan pada PRU lepas di Gelang Patah.