Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak mesti cuba untuk sekurang-kurangnya menawan semula beberapa kerusi daripada pembangkang jika tidakpun semua 31 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Ketua Menteri Datuk Abang Johari Tun Openg berkata ini untuk membolehkan kerajaan negeri menggunakan kuasanya bagi mengukuhkan tuntutan Sarawak berhubung hak dalam minyak dan gas, sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk mendapatkan semula hak dan kuasa di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

"Kita harus kuat di Parlimen. Kita mesti cuba seberapa boleh untuk memenangi 31 kerusi. Jika kita tidak dapat memperoleh 31 kerusi, sekurang-kurangnya kita menawan kembali beberapa kerusi dari DAP," kata beliau.

Beliau berkata memenangi kerusi tidak lagi untuk kepentingan semua parti komponen terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak dan Parti Demokratik Progresif (PDP) tetapi untuk kepentingan rakyat di Sarawak.

Abang Johari yang juga pengerusi BN Sarawak berkata demikian pada acara sambutan Tahun Baharu Cina anjuran SUPP Sibu di Pusat Sivik Sibu hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, DAP menang lima kerusi iaitu Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Lanang, Sibu sementara Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi kerusi Miri, kebanyakannya kerusi kawasan masyarakat Cina di bandar.

Menurut Ketua Menteri, BN boleh memenangi kerusi tersebut jika semua parti komponen mengamalkan dasar inklusif dan bekerja keras supaya rakyat tahu bahawa mereka bersatu dan kerja keras itu bermaksud untuk kebaikan mereka.

Ini telah terbukti apabila BN melalui SUPP memenangi kerusi Batu Kitang dan Batu Kawa, kawasan pilihan raya negeri yang digambarkan sebagai kawasan hitam pada Pilihan Raya Negeri ke-11 pada 2016.

Abang Johari berkata, tiada siapa boleh memperjuangkan hak Sarawak melainkan anak jati Sarawak sendiri dan tidak seperti pembangkang, presiden parti-parti komponen BN di negeri ini ialah anak tempatan Sarawak.

"Siapa presiden DAP? Berapa ramai anak Sarawak menjadi anggota Jawatankuasa Kerja Pusatnya? Hanya seorang...bagaimana untuk berjuang menuntut hak Sarawak?" katanya.

Mengenai pembangunan Sibu, Abang Johari berkata ia boleh ditransformasi menjadi kawasan yang lebih baik setanding dengan bandar-bandar besar yang lain di Sarawak jika ia berada dalam BN.

"Anda harus kuat dan mendapat sokongan penuh dari rakyat supaya dapat membendung hasutan daripada sesetengah pihak yang mungkin menggangu rancangan untuk mengubah wajah Sibu," kata beliau.

-- BERNAMA