Setelah sekian lama Bandar Kuching diwakili pembangkang, calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan itu Kho Teck Wan berpandangan sudah tiba masanya pengundi di kawasan tersebut mengubah selera agar suara mereka di parlimen lebih berkesan.

Teck Wan, 41, berkata ini kerana selaku calon BN beliau mempunyai kelebihan untuk menarik perhatian Kerajaan Persekutuan dan sebagai wanita pula beliau menawarkan perspektif berbeza dalam menyuarakan masalah rakyat.

"Jika mahukan apa-apa perubahan dasar dalam negara, segala pertimbangan dan perbincangan dengan semua pihak perlu diambil kira dan ia bukan proses mudah yang boleh dibuat dalam masa sehari.

"Jangan bersikap tidak profesional seperti perbuatan menjerit-jerit di Parlimen... tingkah laku itu hanya akan membuatkan mereka diusir keluar begitu sahaja, sekali gus tidak ada peluang langsung untuk menyampaikan suara rakyat kepada badan tertinggi negara. Itulah yang saya mahu warga Kuching fahami," katanya kepada Bernama di sini.
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) ini disifatkan peluang terbaik BN untuk merampas kembali kerusi Bandar Kuching selepas penyandang tiga penggal yang juga Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen melepaskan kawasan itu kepada 'orang muda' Dr Kelvin Yii Lee Wuen manakala beliau sendiri berpindah ke kerusi Parlimen Stampin.

Teck Wan secara jujurnya mengakui beliau tidak mahu terlalu optimistik sebaliknya bersikap lebih positif dalam mendepani pemilih di kawasan majoriti Cina itu memandangkan beliau sedar kawasan yang ditandinginya adalah kawasan 'panas'.

"Saya bekerja untuk warga Kuching, jika rakyat pertikaikan usaha saya, saya tetap akan bertabah kerana tanggungjawab untuk berkhidmat demi rakyat bukanlah satu perkara yang mudah.

"Bagi saya usaha dan tanggungjawab yang digalas untuk membantu rakyat terletak pada diri setiap individu khususnya dalam kalangan komuniti itu sendiri. Jika mahu mengubah masa depan maka semua perlu berfikiran terbuka dan bersikap profesional agar permasalahan rakyat dapat disalurkan ke saluran yang betul," katanya.

Katanya selaku kaunselor Majlis Perbandaran Kuching Selatan, beliau banyak mendengar permasalahan rakyat yang gagal ditangani pembangkang sepanjang tiga penggal lalu, antaranya masalah perparitan, kesesakan lalu lintas serta kebajikan rakyat.

"Sebagai kaunselor, saya berusaha untuk membantu semua kerana ia adalah tanggungjawab saya. Tiba masanya mandat dikembalikan kepada kerajaan BN supaya usaha menyelesaikan segala permasalahan ini dapat dijayakan dengan lebih efisien," katanya.

Teck Wan berkata beliau bukanlah setahun jagung dalam dunia politik kerana sudah lama memerhati ibu bapanya aktif berpolitik dan membantu rakyat, sekali gus menyemai minatnya dalam bidang itu.

Namun katanya di sebalik pengalaman yang diraih selama ini, beliau masih tidak dapat mengelak daripada merasa sedih apabila bapanya menjadi mangsa 'serangan' pihak tertentu selepas beliau dicalonkan untuk bertanding pada PRU14.

"Namun bapa saya seorang yang positif dan memang sudah menjangkakan perkara sedemikian akan terjadi jika ahli keluarga terlibat dalam dunia politik walaupun kita berniat murni mahu membantu rakyat. Perkara itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus bangkit setiap hari serta kekal positif," katanya.

"Siapa lagi yang akan membantu rakyat kalau bukan dalam kalangan komuniti kita sendiri, justeru saya tidak akan ambil peduli sebarang kritikan tersebut malah akan terus komited untuk bekerja keras demi rakyat," katanya lagi.

Menurutnya beliau juga merasa bertuah kerana sepanjang penglibatannya selaku Ketua Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), ramai yang memberi dorongan dan sokongan khususnya ahli sayap Wanita SUPP dan komponen BN lain.

Antara janji Teck Wan untuk Parlimen Bandar Kuching ialah pembaharuan dalam ekonomi, pembaharuan di bandar serta penubuhan pasukan khas wanita dalam menangani isu-isu kewanitan selaras dengan aspirasi kerajaan yang mahu memperkasa kaum hawa di Malaysia. -- BERNAMA