Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini memberi amaran kepada individu tertentu supaya berhenti menghina beliau susulan keputusannya keluar dari parti itu.

Tegasnya, tunggu dan lihat kesan terhadap UMNO Sabah selepas ada pihak yang menyifatkan tindakan beliau keluar parti tidak akan membawa sebarang kesan kepada parti itu.

"Saya dahulu antara pengasasnya (UMNO Sabah). Bukan besar sangat sumbangan saya, tetapi adalah sedikit sumbangan saya di peringkat negeri Sabah dalam membesarkan dan membawa parti UMNO.

"Ada yang menyatakan tidak ada kesannya dengan saya keluar dari parti. Kita tunggu ada kesan atau tidak ada kesan. Kita tunggu Allah SWT.

"Saya tahu saya pun ada penyokong, bukan tidak ada penyokong, tapi jangan hina. Saya datang dari Sabah nak memperjuangkan dalam membantu negara kita," katanya ketika di temui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Kota Kinabalu.

Ditanya adakah lebih ramai ahli UMNO Sabah akan keluar parti, ujar Shafie, beliau mengetahui rasa yang terpendam dalam hati terutama penduduk di luar bandar.

"Kita tunggu sahaja macamana keadaannya. Rakyat memang saya tahu, suara-suara di peringkat akar umbi. Lapan tahun saya jadi menteri luar bandar, saya tahu cita rasa masyarakat luar bandar.

"Saya bela mereka, dari orang asli yang tidak pernah dihantar (sekolah) sejak merdeka, 40 orang asli buat sarjana di London dan Amerika Syarikat. Ramai. Jadi saya sedar apa cita rasa dan (apa) yang terpendam dalam hati mereka," ujarnya.

Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna itu pada masa sama terus mempersoal tindakan Lembaga Disiplin dan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang tidak memanggil beliau untuk memberi keterangan sebelum menggantung keahliannya.

"Siasatlah dulu. Kenapa takut sangat nak siasat dan berdepan dengan saya? Tanya saya apa salah saya. Dalam bulan yang baik kita beramal, saya pergi umrah.

"Tidak langsung (dibincangkan penggantungan) semasa saya hadir (mesyuarat) Majlis Tertinggi. Tidak ada yang tanya saya.

"Bila saya pergi umrah, (MT) gantung saya. Tapi tak apa, mungkin ini di antara petunjuk Allah bila saya berumrah dan berdoa di Masjid Nabawi," ujar Shafie.