Datuk Saarani Mohamed dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Perak yang baharu menggantikan Zambry Abd Kadir yang tidak dilantik semula ke jawatan itu selepas tamat tempoh berikutan pemilihan parti itu baru-baru ini.

Dengan perlantikan itu, Saarani yang merupakan Timbalan Pengerusi UMNO Negeri akan mengepalai badan perhubungan negeri bagi penggal 2018-2021 ini.

Ketika dihubungi Astro AWANI, Saarani yang juga ADUN Kota Tampan menzahirkan penghargaannya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di atas perlantikan beliau seperti mana pengumuman yang dibuat UMNO Pusat pada petang Sabtu.

Katanya, amanah tersebut merupakan satu kepercayaan yang akan digalas olehnya dengan sebaik mungkin.

“Ini bukanlah pangkat, tetapi tanggungjawab yang perlu saya pikul bersama-sama dengan saf pimpinan yang lain untuk mengembalikan kegemilangan UMNO sebagai parti pemerintah,” katanya pada Ahad.

Saarani berkata beliau turut dihubungi Zambry semalam selepas pengumuman perlantikan dibuat pucuk pimpinan parti.

“Dr Zambry maklumkan kepada saya, beliau ingin menumpukan perhatian kepada tugasnya, sebagai ketua sekretariat R&D UMNO Malaysia.

“(Malah), Dr Zambry juga memberi sokongan kepada saya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO yang baru,”ujarnya lagi.

Ketika ditanya sama ada bekas Menteri Besar Perak itu memilih untuk melepaskan jawatan tersebut, Saarani tegas menafikannya.

“Bukan dia (Zambry) lepaskan jawatan. Tempoh beliau sebagai Pengerusi Perhubungan berakhir sebaik sahaja UMNO mengadakan pemilihan pada 30 Jun yang lepas.

“Jadi, Presiden baru telah melantik Pengerusi Perhubungan baru untuk sesi 2018-2021,” ujarnya lagi.

Semalam, Ahmad Zahid menerusi satu kenyataan akhbar mengumumkan senarai nama-nama Ahli Majlis Tertinggi (MT) serta barisan Pengerusi Perhubungan bagi setiap negeri.

Sebelum ini, pada 23 Jun lepas media melaporkan Zambry yang juga ADUN Pangkor menolak permintaan akar umbi supaya bertanding jawatan Naib Presiden sebaliknya menegaskan mahu membantu memulihkan parti melalui jawatannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) selain mahu memberi laluan kepada pemimpin lain dalam UMNO untuk jawatan tersebut.

Pada pemilihan 30 Jun lalu, Dr Zambry memperolehi undi tertinggi bagi jawatan Majlis Tertinggi dengan menduduki tempat kedua selepas bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamad yang juga Ahli Parlimen Jeli.