Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berharap supaya kerajaan negeri membuka lembaran baharu dalam kerjasama dengan Kerajaan Pusat demi memastikan nasib rakyat terbela.

Tengku Abdullah bertitah, kerajaan negeri perlu mencari titik persamaan terlebih dahulu dan selanjutnya sebarang perbezaan ditangani secara bijaksana lagi berhemah.

“Saya berkehendakan agar semua wakil rakyat di negeri Pahang ini tanpa mengira fahaman politik berkerjasama sebagai satu kumpulan dalam membela nasib rakyat serta memajukan negeri ini," titah baginda selepas menyempurnakan istiadat mengangkat sumpah Menteri Besar Pahang ke-14 dan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO), negeri, di Istana Abu Bakar, di sini, hari ini.

Terdahulu, Tengku Abdullah berkenan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Menteri Besar baharu.

Wan Rosdy (kiri) berbincang sesuatu dengan bekas menteri besar Pahang sebelum ini, Datuk Seri Adnan Yaakob. - Astro AWANI

Selain itu, turut dilantik adalah lapan Exco yang berperanan menjalankan tugas rasmi berkaitan kerajaan negeri selain membantu Menteri Besar.

Mereka terdiri ADUN Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, ADUN Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Samsuddin, ADUN Kerdau, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, ADUN Guai, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman, ADUN Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, ADUN Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah ADUN Bebar, Datuk Mohd Fakhruddin Mohd Ariff dan ADUN Lepar, Abdul Rahim Muda.

Turut berangkat, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Baginda turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kepemimpinan pusat yang baharu selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Tengku Abdullah bertitah, kejujuran pemimpin merupakan landasan utama dalam penilaian baginda dalam melantik Wan Rosdy sebagai Menteri Besar untuk tempoh dua tahun atau selama mana tempoh yang diperkenan.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, beliau akan berusaha untuk melaksanakan kerjasama dengan Kerajaan Pusat dalam tempoh pentadbirannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu berkata, bagaimanapun banyak perkara harus dibincangkan kembali sebelum dilaksanakan kerjasama itu.

"Saya akan akan cuba galas tanggungjawab dan amanah yang diberikan ini serta berusaha untuk melaksanakan kerjasama dengan pusat, tetapi banyak perkara yang harus difikirkan," katanya.