Amanah Perak mengalu-alukan kemasukan ahli Pas dan UMNO ke parti itu selepas PRU14.

Naib pengerusinya, Dr Muhaimin Sulam berkata, pihaknya menyedari wujud satu gelora kuat di peringkat akar umbi untuk menyertai parti kerajaan itu.

Beliau berkata, sebahagian ahli yang menyertai Amanah disebabkan mereka sudah memiliki keyakinan bahawa pendirian pimpinan Amanah sebelum ini adalah strategi politik yang tiada kena mengena persoalan akidah seperti yang didakwa setengah pihak.

“Walaupun begitu pihak kami tetap berhati-hati agar tiada lagi unsur DNA (asid deoksiribonukleik) yang memecah belah ummah atau ‘ular air’ yang hanya mementingkan perut dan tembolok sendiri.

“Sebagai parti Islam, kami memastikan Amanah kekal sebagai parti yang inklusif, peduli dan progresif pada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, penyertaan ramai ahli-ahli baharu diharap mampu memperkukuhkan perjuangan untuk mempertahankan hak rakyat jelata dan mampu mencerminkan slogan ‘Islam Rahmat Untuk Semua’.