Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob merakamkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang meluluskan lima projek utama bernilai kira-kira RM1.4 bilion bagi pembangunan negeri itu.

Menurutnya penghargaan sama turut diberikan kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atas kunjungan hormat ke pejabatnya dua hari lalu bagi mempengerusikan mesyuarat kali pertama Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan.

Kata beliau, Mohamed Azmin pada mesyuarat itu turut mengumumkan lima projek yang telah diluluskan termasuk pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 3 sepanjang 150 kilometer bermula dari Gemuroh, Terengganu ke Tumpat.

"Mohamed Azmin turut mengumumkan projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, pembinaan jalan raya menghubungkan Pasir Puteh, Machang dan Jeli, jambatan Palekbang di Kota Bharu dan pembinaan Lebuh Raya Central Spine Road sepanjang 123km diluluskan," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Ahmad turut menyifatkan pelantikan Mohamed Azmin selaku pengerusi MTNg Kelantan sebagai pemilihan yang tepat dan kerajaan negeri akan memberi kerjasama terbaik kepada kerajaan Persekutuan dalam pelaksanaan semua projek diluluskan itu.

Dalam kenyataan sama, Ahmad turut menyatakan sokongan penuh di atas keputusan Perdana Menteri bahawa tidak akan ada lagi lantikan politik dalam MTNg.