Masih terlalu awal untuk menilai sambutan rakyat terhadap Parti Amanah Negara (Amanah) yang baru diumumkan penubuhannya pada Isnin.

Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya (UMCEDEL) Dr Amer Saifude Ghazali berkata parti berkenaan masih lagi di peringkat 'bertatih'.

"Parti itu belum ada organisasi yang sistematik. Jadi, agak sukar untuk mengukur pencapaian mereka sekarang.

"Sambutan rakyat terhadap mereka bergantung kepada bagaimana parti itu meletakkan posisi mereka dalam landskap tanah air," kata Dr Amer.

Selain itu, beliau berkata ia juga bergantung kepada program yang dirancang mereka dan sama ada boleh memberi impak signifikan di kalangan rakyat.

Tambah Dr Amer, Amanah juga harus mengamalkan sikap tidak berkonfrontasi dengan PAS.

"Ini kerana mereka berkongsi segmen pengundi yang sama. Jadi, mereka harus mengamalkan politik damai untuk mengelakkan kerugian sokongan kepada blok pembangkang itu sendiri," jelas Dr Amer.


Beliau diminta mengulas hala tuju Amanah selepas pengumuman penubuhan parti itu oleh Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB), Mohamad Sabu pada 31 Ogos.

Amanah akan dilancarkan secara rasmi sebagai sebuah parti politik pada 16 September ini, termasuk pelancaran logo dan portfolionya.