Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memperkenan nama yang dipersetujui pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata keputusan itu dibuat Sultan Sharafuddin selepas beliau menghadap dan menyembah maklum nama individu tersebut kepada baginda di Istana Alam Shah, Klang pagi tadi.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan nama penggantinya sebagai MB Selangor ke-16.

“Pada pagi ini, saya telah menghadap Tuanku Sultan Selangor untuk menyembah maklum nama pengganti saya sebagai Menteri Besar Selangor ke-16 yang telah dipersetujui pimpinan tertinggi PKR dan PH.

BACA: Azmin menangis lagi ...

“Susulan itu, Sultan telah memperkenan untuk menjalankan istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji dan surat cara perlantikan Menteri Besar Selangor pada jam 9.30 pagi esok, istiadat ini akan bermula dengan pelepasan saya sebagai Menteri Besar Selangor ke-15,” ujarnya pada majlis perpisahan bersama penjawat awam Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

“Saya yakin dengan ketokohan dan kewibawaan menerusi kesinambungan pentabiran yang akan dibawa oleh bakal pengganti saya dengan telus berintegriti dan dinamik dan mengekalkan dasar peduli rakyat.

“Saya doakan tuan-tuan dan puan-puan akan terus memberi kerjasama baik dan sama kepada pengganti saya,” tambah beliau.