Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu wakil rakyat Barisan Nasional (BN) terus memberi tumpuan untuk membangunkan kawasan masing-masing termasuk membantu rakyat setempat.

Beliau berkata perkara itu perlu diberi keutamaan kerana rakyat akan membuat penilaian terhadap sumbangan wakil rakyat kelak.

"Saya tidak sentuh mengenai pembangkang, tetapi kita cerita tentang diri kita (BN).

"Biar orang burukkan nama kita, kita mahu rakyat tahu kita buat kerja untuk membangunkan Bagan Datuk, Perak dan Malaysia sebagai negara yang makmur, kita tidak mahu gaduh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam amal kali kedua untuk kutipan dana bagi pembelian tanah dan pembinaan semula tokong di Dewan Peng Aun Keong di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk meminta penduduk kawasan tersebut menyokong penuh kerajaan BN supaya ia dapat terus memberi khidmat kepada rakyat.

"Saya mahu orang Bagan Datuk tutup buku lama, pilihan raya umum ke-13 (PRU13), PRU12 sudah lepas, kita mahu fokus PRU14 akan datang. (Masyarakat) Melayu, Cina, India mesti bersatu hati pada kali ini," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata rakyat Bagan Datuk perlu mengetepikan perbezaan agama, bangsa dan budaya dalam memajukan daerah tersebut yang merupakan daerah baharu di Perak.

"Pembangunan yang ada di Bagan Datuk adalah untuk kita semua dan kita tahu Bagan Datuk boleh maju kalau kita bersatu hati," katanya.

-- BERNAMA