Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan tiada ahli parlimen Barisan Nasional (BN) yang 'dibeli' seperti mana dipaparkan dalam sebuah blog sebelum ini.

"Tidak ada seorang pun daripada 20 ahli parlimen BN seperti dipaparkan blog didekati atau 'dibeli' untuk tandatangani akuan sumpah itu.

"Saya ingin sahkan tidak ada seorang yang tandatanganinya. Saya ingin bersihkan nama mereka," Ahmad Zahid berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin di sini, hari ini.

Berita mengenai konspirasi menggulingkan kerajaan pertama kali didedahkan Ahmad Zahid ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ampang pada Ahad lalu.

Beliau berkata, rancangan itu dijalankan dengan cara untuk mendapatkan akuan bersumpah daripada ahli Parlimen Pembangkang, serta cuba menarik ahli Parlimen BN menyokong mereka bagi menumbangkan kerajaan sedia ada melalui 'jalan belakang'.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau mendapat maklumat itu daripada sumber yang sangat boleh dipercayai.

Beliau turut ditanya mengenai desakan banyak pihak supaya beliau mendedahkan nama 'indvidu' berkenaan, Ahmad Zahid menegaskan ia tidak boleh dilakukan kerana bimbang akan menjejaskan siasatan pihak polis.

"Ada laporan yang telah dibuat kepada pihak polis dan bila ada laporan, maka penyiasatan perlu dilakukan.

"Kertas siasatan telah dibuka dan akan diserah kepada Peguam Negara untuk tindakan pertuduhan," katanya sambil menambah bahawa semua maklumat yang diketahui olehnya telah diserahkan kepada pihak polis.