Pas Semenyih akan terus memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung pada 2 Mac ini.

Ketua Cawangan Pas Taman Kantan Permai Mohd Nadzri Zainul berkata, setakat ini tiada arahan dikeluarkan sama ada oleh Pas Selangor atau Pas Pusat supaya ahli-ahlinya tidak menyokong BN.

Nadzri berkata demikian susulan kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata partinya tidak akan menyokong BN pada PRK ini.

“Kenyataan dibuat Pengerusi Bersatu, bukannya presiden Pas. Ini adalah agenda untuk memecahbelahkan dan satu propaganda yang menipu.

“Kalau tak (ada kerjasama) kami tidak akan membuat kerja seperti sekarang ini. Ini tipu dan putar belit.

“Kita (Pas Semenyih) tidak mendapat arahan daripada negeri dan pusat, jadi kami tenang lakukan kerja dan tidak kelam kabut,” katanya kepada pemberita semasa program bersama Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein di sini pada Ahad.

Pada Sabtu, Dr Mahathir dalam satu sidang media berkata Abdul Hadi membuat pengakuan bertulis dalam mesyuarat di Yayasan Al-Bukhary pada Jumaat bahawa Pas tidak akan memberi sokongan kepada BN dalam PRK Semenyih.

Namun Abdul Hadi pada Jumaat, dalam sidang media di Terengganu menegaskan, pertemuannya dengan Perdana Menteri adalah bagi membincangkan penyelarasan pentadbiran antara kerajaan negeri dengan Persekutuan.

Ini termasuk mengenai Wang Tunai Petroleum (WTP), Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) dan projek Kerajaan Persekutuan dan Negeri agar tidak wujud sebarang percanggahan.

Sementara itu, Hishammuddin turut menyuarakan pendapat sama bahawa kerjasama antara BN dan Pas masih kekal dan menyifatkan kenyataan Dr Mahathir sebagai satu cubaan mengalih pandangan rakyat daripada isu nasional.

“Cukup-cukuplah cubaan hendak memecahbelahkan pemimpin-pemimpin daripada pembangkang.

“Harga sawit, harga getah masih merudum dan harga minyak meningkat. Ini mungkin cubaan nak alih pandangan dan perhatian orang ramai.

“Saya yakin orang-orang di sini (Semenyih) tidak akan mudah terpedaya,” katanya dalam sidang media yang sama.

Pada hari penamaan calon PRK Semenyih pada Sabtu, beberapa pemimpin Pas hadir memberi sokongan kepada calon BN, termasuk Naib Presiden, Idris Ahmad dan Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan.

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57 tahun, yang merupakan Ketua Bersatu Bahagian Hulu Langat pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.