KUALA LUMPUR:Titah Yang di-Pertuan Agong agar semua ahli Parlimen berhenti bermain politik dan memberi perhatian kepada kebajikan rakyat perlu diambil serius semua pihak, kata Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga bertitah agar keutamaan diberikan kepada Belanjawan 2021 yang akan menjadi sebuah dokumen yang sangat penting bagi negara dalam era pandemik ini.

“Peruntukan kewangan ini perlu diluluskan bagi menampung sistem kesihatan kita agar petugas hadapan mampu mengawal wabak ini. Malaysia kini dalam fasa pemulihan ekonomi dan pada masa ini, hampir seluruh sektor ekonomi negara kita sudah kembali dibuka.

“Bajet ini akan menentukan dan memberi hala tuju kepada ekonomi negara kita pada tahun yang akan datang. Kita semua tahu, ramai rakyat telah kehilangan pekerjaan, peniaga kecil dan sederhana terpaksa menutup perniagaan mereka kerana wabak yang melanda dunia pada tahun ini,” katanya lagi.

BACA: Ketepi politik, bersatu perangi COVID-19 - DAP

BACA: Tiada keperluan isytihar darurat - Istana Negara


Justeru, beliau berkata, belanjawan itu penting bagi meringankan beban rakyat, dan membantu semua yang terjejas dengan inisiatif-inisiatif yang akan dikemukakan dalam pembentangan di Parlimen pada 6 November ini.

Shahril berkata, beliau mengharapkan agar ahli-ahli politik dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada belanjawan dan mengutamakan rakyat.

“Itu merupakan tanggungjawab utama sebagai pemimpin,” katanya lagi.

Terdahulu, dalam kenyataan Istana Negara, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, YDP Agong telah memperhalusi permohonan Muhyiddin mengenai pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak COVID-19 di negara ini.

Namun, katanya selepas memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu serta melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah berasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan, justeru tidak perlu pelaksanaan darurat.