Pengundian secara atas talian atau e-voting tidak akan berlaku di negara ini dalam masa terdekat, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Katanya, banyak kajian yang perlu dilakukan sebelum kaedah itu dapat diluluskan pihak berkuasa dan dilaksanakan.

"Pilihan raya merupakan isu yang sensitif. Kita perlu lakukan kajian terlebih dahulu sebelum melaksanakannya malah ada negara yang telah melaksanakannya kembali kepada kaedah manual,

"Malah ia juga melibatkan pindaan undang-undang dan untuk melakukan perkara itu agak sukar ketika ini," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran aplikasi mudah alih semakan daftar pemilih 'MYSPR Semak' sempena Sambutan Ulang Tahun ke-60 SPR di Menara SPR di sini, hari ini.

Tambahnya, persepsi negatif masyarakat terhadap SPR juga perlu diubah terlebih dahulu sebelum e-voting dilaksanakan.