Tiada sebarang keperluan untuk mewujudkan jawatan timbalan speaker kedua untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor seperti didedak DAP, kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz berkata dengan tempoh sidang DUN yang singkat, memadai dengan hanya seorang timbalan speaker sahaja dipilih selain langkah itu disifatkan lebih menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri.

Katanya, berbeza dengan sidang Dewan Rakyat yang sering kali berlanjutan hingga ke lewat malam dan diadakan dalam tempoh yang panjang.

"Dewan Rakyat ada kalanya berlangsung selama dua bulan dan dalam satu hari, ia berlanjutan sehingga lewat malam, malah ada yang sampai pukul tiga pagi. Jadi, ada munasabah untuk penggiliran dua timbalan speaker dan satu speaker.

"Sidang dewan negeri selalunya tidak lama dan tidak sampai lewat malam, jadi cukup untuk seorang timbalan speaker sahaja.

"Kalau ada dua timbalan speaker, perbelanjaan kerajaan negeri akan meningkat sebab kena bayar elaun timbalan speaker dan pencen bila seseorang itu tidak lagi jadi timbalan speaker," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, perbelanjaan untuk membayar elaun timbalan speaker kedua seperti dicadangkan oleh DAP itu boleh digunakan untuk keperluan rakyat.

Semalam, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS dan Barisan Nasional (BN) sepakat menolak cadangan DAP agar diwujudkan jawatan timbalan speaker kedua untuk DUN Selangor.

Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Shamsudin Lias dilaporkan berkata, tindakan DAP menuntut jawatan timbalan speaker menunjukkan parti itu tamak kuasa.

Sementara itu, mengulas keputusan DUN Selangor meluluskan cadangan mengurangkan gaji menteri besar dan exco, Mahfuz berkata ia satu langkah yang baik dan dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan negeri.