Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memberi bayangan tiada kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurutnya, ketika ini parti Pas Kelantan sudah semakin lemah berbanding era pemerintahan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selain perpecahan ahli parti itu.

Malah BN Kelantan pula sudah mendapat lampu hijau daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menentang Pas.

Sehubungan itu, beliau mahu kepimpinan BN terus bekerja keras dan bersungguh-sungguh untuk menarik sokongan rakyat.

"Saya rasa UMNO kalau tidak bersungguh-sungguh merebut peluang ini akan ditinggal oleh penyokong-penyokongnya kerana berapa lama UMNO nak bertahan, tanpa dapat menyakinkan parti itu dan ini peluang.

"Pas nampak tidak dapat buat apa-apa dan sudah tidak ke mana lagi. Saya rasa UMNO mesti merebut peluang ini. Kalau UMNO tidak merebut peluang ini saya rasa rakyat akan tinggal UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran Jalinan Rakyat (JR) Plus peringkat Parlimen Gua Musang di Bukit Cekati, Gua Musang, Kelantan.