Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menepis dakwaan wujudnya pergolakan antara beliau dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurut beliau, dakwaan yang ditularkan menerusi media sosial itu adalah tidak berasas dan bermotifkan politik semata-mata.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, kepimpinan parti dan negeri juga tenang tanpa sebarang konflik.

“Saya yang lantik dia bertanding di kawasan saya, Rhu Rendang, takkan mudah-mudah nak suruh berhenti.

“(Tohmahan itu) sangat tak benar, saya yang pasang dia, lantik dia di kawasan Rhu Rendang… kawasan saya,” katanya kepada pemberita.

Sebelum ini, dalam catatan beberapa individu di laman sosial Facebook mendakwa terdapat kumpulan yang telah bertemu Abdul Hadi bagi menukar Menteri Besar Terengganu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Mesej tular bertajuk ‘Kerusi MB Terengganu panas'? Itu mendakwa tindakan tersebut disebabkan rasa tidak puas hati kumpulan berkenaan terhadap Ahmad Samsuri yang dikatakan lebih mengutamakan orang luar dalam membuat lantikan politik bagi jawatan-jawatan berprestij.

Abdul Hadi turut menolak dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang mengaitkan perkara berkenaan dengan ketidakpuasan membabitkan duit royalti di samping isu himpunan menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).