Spekulasi perpecahan antara Timbalan Presiden Datuk Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli didakwa hanyalah satu permainan media.

Ketua Cawangan PKR Kuantan, Fuziah Salleh berkata insiden melobi saat-saat akhir yang didakwa melibatkan pemimpin parti itu sebagai “a storm in a tea cup” atau sesuatu permasalahan kecil yang sengaja digembar-gemburkan.

Fuziah yang juga naib presiden PKR berkata media membuat spekulasi mengenai peletakan jawatan Tian Chua apabila ada ura-ura mengatakan bahawa beliau tidak akan dicalonkan kembali untuk kerusi parlimen Batu.

“Media memainkan bahawa Tian Chua akan meletak jawatan tetapi beliau tidak berbuat demikian.

“Ia hanyalah spekulasi. Memanglah sewaktu musim pencalonan, akan ada pihak yang tidak berpuas hati dan ia adalah sesuatu yang normal.

“Namun pihak kepimpinan memahami perkara ini dan kami menghormati keputusan yang telah dibuat presiden parti Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail,” katanya ketika ditemui sewaktu melancarkan Laporan Prestasi Ahli Parlimen PKR di Pusat Gerakan PKR, di sini awal pagi tadi.

PKR yang bakal mengumumkan senarai penuh calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada 25 April di ibu negara dijangka bakal membariskan beberapa muka-muka baru.

Fuziah berkata bahawa apabila terdapat penukaran calon maka perselisihan akan berlaku. Walau bagaimanapun ia sudah dijangkakan.

Beliau turut menegaskan bahawa tiada unsur ‘kartel’ dalam parti seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Pada Ahad, beberapa pemimpin PKR dilihat keluar masuk kediaman presiden parti di Segambut.

Difahamkan bahawa beberapa calon yang dipilih tidak dipersetujui di peringkat tertinggi parti.

Malah media luar negara turut mengaitkan insiden ini dengan kewujudan dua kem dalam PKR yang masing-masing diketuai Azmin dan Rafizi.