Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan PKR masih kekal bersatu di sebalik beberapa isu melanda parti tersebut sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, pertemuan dan mesyuarat bersama ahli parti di Sabah dan Sarawak baru-baru ini juga berjalan lancar dan disertai semua bahagian di sana.

“Parti tetap bersatu. Saya datang ke Sabah, semua bahagian datang. Saya di Sarawak, semua bahagian ada.

“Mereka datang, tanya soalan, pemimpin ada di sana, mesyuarat berjalan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2019 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Malaysia (Mimcoin) di sini malam tadi.

Tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu, beliau mengakui wujud kebimbangan terhadap beberapa isu berbangkit namun semua pihak harus bergantung kepada fakta dan bukti yang ada.

“Sudah pasti ada kebimbangan tentang apa terjadi. Apa yang penting, kita tidak boleh melemparkan tuduhan terhadap sesiapa.

“Kita mesti berpandukan kepada fakta dan bukti kerana ini bukanlah budaya yang kita mahu amalkan dan sampaikan kepada orang lain,” ujarnya.

Tegas beliau, ia tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya melemparkan pelbagai tuduhan terhadap orang lain.

“Isunya di sini, kita ada masalah dan kita harus berdepan dengannya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita berkaitan video seks mirip seorang menteri yang tular baru-baru ini.

Isu tersebut hangat diperkatakan sehingga ada khabar angin mengatakam berlakunya perpecahan dalam PKR disebabkan penyebaran video tersebut.