Keterbukaan UMNO dalam mempertandingkan semua jawatan pada pemilihan parti kali ini membuktikan tidak berlakunya elemen pilih kasih dan nepotisme dalam parti tersebut.

Ketua Pemuda UMNO Johor Hahasrin Hashim berkata ia sekali gus menyangkal dakwaan kononnya ada gerakan mengatur barisan kepimpinan yang disukai dalam parti.

"Ia tidak seperti (disangka) kononnya orang atas kata saya hendak orang ini dan orang itu. Tidak. Ia (pemilihan) adalah daripada akar umbi," katanya kepada pemberita selepas Sesi Pengenalan Calon Pergerakan Pemuda UMNO Johor di Ibu Pejabat Badan Perhubungan Umno negeri di sini, pada Khamis.

Hahasrin berkata di peringkat UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan negeri telah menyarankan supaya pemilihan kali ini dibuat dengan lebih terbuka.

"Ini bermakna mereka tidak akan memberi sebarang sokongan kepada mana-mana calon, sebaliknya hanya berharap calon dari Johor akan mendapat tempat dan dipilih anggota parti pada pemilihan itu," katanya. - Bernama