PKR tidak membuat sebarang ketetapan ketika ini berhubung cadangan supaya jawatan presiden parti itu ditandingi oleh Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Setiausaha Agung parti Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata perkara itu masih di peringkat cadangan dan beliau menyerahkan kepada anggota parti untuk berbahas serta berbincang tentangnya atas semangat demokrasi di dalam parti.

"Di sebalik cadangan supaya Datuk Seri Anwar bertanding sebagai presiden PKR supaya kembali aktif dalam parti dan politik seterusnya menjadi perdana menteri kelapan, saya melihat ada 'mood' dalam kalangan anggota PKR supaya jawatan itu yang dipegang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika ini tidak dicabar.

"Ia berdasarkan pengalaman Dr Wan Azizah yang telah memimpin PKR selama hampir 20 tahun sehingga mengecapi kejayaan sekarang ini selain kredibiliti beliau sebagai wanita pertama yang menjadi presiden parti politik dan timbalan perdana menteri di negara ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Bayan Baru, dekat sini, hari ini.

Beliau turut bersetuju dengan pandangan supaya Anwar apabila dilantik sebagai perdana menteri kelak adalah atas kapasiti presiden PKR sekali gus wajar bertanding dalam pemilihan parti itu.

"Keputusan untuk bertanding jawatan presiden itu bergantung kepada Dr Wan Azizah dan Anwar sendiri, saya percaya anggota parti akan menerimanya dengan baik sebarang keputusan yang dibuat mereka," katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Dr Afif Bahardin mencadangkan Anwar bertanding sebagai presiden PKR pada pemilihan parti yang pencalonannya akan dibuka hujung bulan ini bagi membolehkan beliau kembali aktif di dalam parti dan politik.

-- BERNAMA