Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan beliau tidak sehaluan dengan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"kalau ada apa-apa berita angin yang tersebar sebelum mesyuarat ini, maka kecewalah mereka yang menyebar berita palsu tersebut," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Najib berkata, beliau beliau menghargai idea bernas yang dikemukan oleh timbalan presiden dan cadangan-cadangan lain dari ahli Majlis Tertinggi dalam mesyuarat yang berlangsung selama lebih tiga jam itu.

"Saya amat menghargai sumbangan idea bernas yang diberikan oleh timbalan presiden dalam mesyuarat.

"Saya berjumpa dari hati ke hati dengan timbalan presiden pagi tadi. Kita akan selalu bincang, dari hati ke hati untuk pastikan kepemimpinan UMNO diperingkat pucuk pimpinan berada dalam keadaan yang selesa dan kukuh supaya tiada pihak yang cuba memecah belahkan kita, terutamanya saya dengan timbalan presiden," katanya.

Katanya, Majlis Tertinggi dalam mesyuarat hari ini menyatakan sokongan yang padu kepada presiden dan timbalan presiden.

Beliau menjelaskan Majlis Tertinggi UMNO mahu Presiden dan Timbalan Presiden serta semua pemimpin tertinggi parti bekerja dalam satu pasukan untuk menangani cabaran.

Majlis Tertinggi juga kata Najib berharap jika ada sesuatu isu berbangkit, mereka diberi ruang dan peluang untuk menyumbang idea dan cadangan positif supaya isu berbangkit dapat ditangani sebaiknya.

Kenyataan Najib hari ini sekaligus menafikan dakwaan yang dibuat oleh bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin dalam blognya bahawa presiden UMNO itu tidak mendapat sokongan daripada partinya sendiri.

Zainuddin dalam tulisannya mendakwa Najib akan diberitahu secara ikhlas dan sopan mengenai sokongan yang merosot dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO hari ini.

Selain itu, sebelum ini timbul khabar angin mengatakan hubungan antara Najib dan Muhyiddin renggang berhubung isu-isu yang timbul terutamanya melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kenyataan Muhyiddin mengenai 1MDB, yang mahu isu tersebut dijelaskan supaya tidak dilibatkan dengan UMNO, dilihat oleh sesetengah pihak sebagai tidak sehaluan dengan Najib.