Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan keputusan untuk tidak memberi ruang kepada Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berucap pada sesi penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO 2015 Sabtu ini sebagai proses 'gencatan senjata'.

Zambry yang juga Menteri Besar Perak berkata, keputusan yang dibuat oleh ahli MT itu juga bukan sebagai hukuman tetapi untuk mengurangkan pergeseran di dalam parti itu.

"Walaupun ini bukan satu tradisi tetapi kita perlu akui kali ini kita ada masalah sedikit, jadi biarlah kita ambil ini sebagai proses seperti gencatan senjata bagi mengurangkan suhu-suhu pertikaian dan ketegangan.

"MT membuat keputusan ini bukan untuk menghukum sesiapa tetapi demi kepentingan bagi memastikan perjalanan parti dan perhimpunan kali ini dapat diadakan sebaiknya," katanya ketika ditemui selepas sesi bersama media di sini hari ini.

BACA: Muhyiddin lebih dahulu guna peluang berucap di tempat lain - Ahmad Zahid

BACA: Analisis: Antara teguran Khairy dan 'pertanyaan derhaka' Muhyiddin

BACA: Pantun Pekan ke Pagoh rayu Najib, Muhyiddin berbaik

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa kesemua ahli UMNO faham akan tindakan yang diambil itu adalah demi kebaikan parti.

"Perwakilan-perwakilan sendiri telah menyuarakan kedua-dua belah pihak perlu bersatu semula, bercantum semula, maaf bermaafan demi kepentingan parti dan perpaduan di kalangan semua ahli.

"Penting bagi kekuatan sesebuah parti ialah perpaduannya, parti yang tidak kuat kita boleh melihat disebabkan perpecahan yang berlaku dalam parti itu," ujarnya.