Naib Ketua Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun atau Azwan Bro akan terus setia kepada parti biarpun namanya tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Azwan Bro berkata, sebagai ahli parti dan memegang jawatan dalam Pergerakan Pemuda UMNO, beliau masih boleh memberi khidmat kepada parti biarpun tidak menjadi wakil rakyat.

"Saya seorang ahli parti, jadi saya fikir tidak penting sama ada saya jadi calon atau tidak, matlamat saya masuk parti adalah untuk berusaha menyumbang kepada gerak kerja parti membantu rakyat.

"Pada kedudukan sekarang ini pun saya boleh bantu rakyat dan yang lebih penting, pada setiap pilihanraya calon-calon kita yang telah dipilih dan diamanahkan untuk menjadi wakil rakyat itu kita bantu menang dalam pilihanraya supaya mereka juga boleh membantu rakyat," katanya menerusi rancangan Agenda AWANI.