Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tidak perlu ada pertikaian dan debat mengenai pelantikan Menteri Besar Johor yang baharu.

Malah jelasnya yang juga bekas Menteri Besar Johor itu, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1985 menyatakan kuasa melantik menteri besar adalah terletak di tangan Sultan.

“Saya percaya tidak harus ada pertikaian dan debat, pasal negeri Johor telah wujud dengan perlembagaannya sejak 1985. Saya menjadi menteri besar ke -13 waktu saya dilantik pada tahun 1986 dahulu, saya rasa tidak harus debat kerana apa pun ia terkandung kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor.

“Macam setiap negeri ada Undang-Undang Tubuh, macam Johor pun ada di dalam itu ada fasal menyatakan pelantikan menteri besar. Ini bukan baru, sejak zaman berzaman telah dikuatkuasakan,” jelas Muhyiddin ketika mengadakan lawatan rasmi di Stesen Udara Maritim Subang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan kekosongan jawatan menteri besar Johor susulan peletakan jawatan Datuk Osman Sapian Isnin lalu.


Jelasnya sebagai amalan biasa, calon menteri besar adalah datang dari wakil Ahli Dewan Undangan Negeri yang mendapat kepercayaan terbanyak sebelum dipersembahkan namanya kepada Sultan untuk mendapat perkenan.

“Kekosongan itu perlu diisi dengan penggantinya. Macam mana hendak diisi?, maka ketua parti yang menguasai Dewan Negeri macam dalam kes ini PH (Pakatan Harapan) bawa nama kepada Tuanku Sultan kerana dalam perlembagaan ini Sultan yang melantik menteri besar. Itu ada dalam perlembagaan,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata ketika ini ada dua atau tiga nama calon Menteri Besar Johor baharu yang telah dikenal pasti untuk diteliti sebelum dipersembahkan kepada Sultan Johor.

“Mungkin dua atau tiga,” jelasnya.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas sama ada Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal antara calon yang dikenal pasti.