Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan beliau kecewa dengan pencalonan Mohd Zawawi Ahmad Mughni bagi mewakili parti itu dalam PRK DUN Sungai Kandis.

Beliau berkata, dakwaan itu hanyalah perkara yang sengaja ditimbulkan BN untuk memberi gambaran seolah-olah berlaku pepecahan dalam Pakatan Harapan (PH).

"Ini strategi UMNO untuk pecah belahkan perpaduan PH kerana perbincangan tidak berlaku dalam UMNO dan BN. Ia ditentukan oleh ketua di atas.

“Tetapi dalam PKR dan PH kita sering berbincang serta membuat keputusan secara muafakat dan ia menjadi keputusan yang kuat dan memberikan kejayaan kepada PH.

"Ini bukan calon Azmin, tapi calon PH. Sudah tentu kita ada proses perbincangan diperbaharui cabang, negeri dan pusat. Itu adalah proses normal yang dilaksanakan berbeza dengan BN. Saya gembira PH telah mempertahankan proses ini," katanya ditemui pemberita di pusat penamaan calon PRK Dun Sungai Kandis, di sini, hari ini.

Semalam, calon BN di Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam berkata, rakan-rakannya memberitahu bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletakkan Zawawi tanpa mengambil kira pandangan timbalannya itu.

Calon BN itu berkata, ramai rakan-rakan di Sungai Kandis tidak berpuas hati dengan calon pilihan Wan Azizah.

Malah timbul dakwaan, Mohamed Azmin dan rakan-rakannya kecewa ia dilakukan tanpa merujuk kepadanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, Mohd Zawawi adalah calon terbaik untuk memberikan kemenangan kepada PH.

"Beliau adalah calon yang bersih dan memberikan komitmen pada PH. Beliau juga mampu meneruskan legasi kepimpinan Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei," katanya.