Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan pihaknya tidak perlu melakukan sebarang usaha untuk mengumpul Akuan Bersumpah (SD) daripada Ahli Dewan Undangan (Adun) di negeri itu untuk menyatakan sokongan kepadanya.

Tegasnya, pentadbiran di negeri 'Jelapang Padi' itu juga kini tidak berada dalam keadaan cemas dan getir memandangkan majoriti kerusi Adun masih berpihak kepada kerajaan gabungan PH dan Bersatu.

"Yang pertama saya nafikan kita dalam keadaan begitu getir, kerana angka 19 ini daripada dulu bukan sekarang, jadi keadaan kita sekarang sama stabil, dia tidak perlu (SD) sebab kita bukan dalam keadaan mencemaskan.

"Yang keduanya kita tidak perlu untuk memaksa mana-mana pihak tandatangani SD, sebenarnya SD ini tidak laku, kalau tengok di peringkat nasional pun, saya tahu ada orang sign SD belah sini, lepas itu lompat belah sana, lepas itu sign satu lagi SD, sudah tidak laku, lepas itu boleh patah balik dua kali lompat, maksudnya memang tidak ada mana SD," katanya ketika sesi sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan nasib dan kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di beberapa negeri tidak terlalu cerah selepas penggabungan parti terbabit bersama gabungan Perikatan Nasional.

Tegas Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Bersatu, Kedah kini merupakan satu-satunya negeri yang sah dipimpin kepimpinan parti tersebut meskipun kini bergelar negeri pembangkang.

"Satu-satu jatuh nampaknya, saya tidak pasti dekat mana yang dengan perubahan ini Bersatu akan menjadi lebih kuat, Perak dah jatuh, Johor dah jatuh, sebelum ni digembar-gembur Melaka akan jadi negeri Bersatu tetapi tidak tahulah, nampaknya nasib tidak berapa cerah untuk calon Ketua Menteri daripada Bersatu di Melaka, negeri yang satu-satunya Menteri Besar (dari) Bersatu adalah Kedah," katanya lagi.

Terdahulu, Mukhriz menegaskan kerajaan gabungan Pakatan Harapan dan Bersatu di Kedah masih kekal meskipun pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan beberapa negeri kini telah jatuh ke tangan Perikatan Nasional selepas Tan Sri Muhyiddin Yasin diumumkan sebagai Perdana Menteri ke-8.

Jelasnya, kepimpinannya ketika ini masih mendapat kepercayaan penuh kesemua 19 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu di Kedah.