Kegagalan DAP dalam menyelesaikan krisis muafakat dengan PAS disifatkan sebagai bukti parti itu belum cukup progresif untuk menarik minat orang Melayu.

Exco Pemuda UMNO, Rahman Hussin berkata masyarakat bijak menilai permainan politik DAP yang masih terperangkap dengan rencam politik lama.

"Majoriti orang Melayu tidak mempercayai kepimpinan dan hala tuju DAP, bagaimana pula orang Melayu mahu menyertai DAP?" kata Rahman dalam satu kenyataan ringkas kepada Astro AAWANI.

Beliau mengulas kenyataan pemimpin DAP Lim Kit Siang yang mengalu-alukan orang Melayu menyertai parti itu untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah negara yang gagal kerana rasuah, ketidakadilan dan salah tadbir.

Rahman menambah, orang Melayu berpegang teguh kepada akar budaya dan menyantuni perubahan selaras dengan nilai-nilai keadilan sosial berteraskan Islam.

"Progresif bukan bermakna kosmetik sesebuah parti politik, dan aspirasi masyarakat progresif ialah membina ketamadunan baharu dengan mengangkat agenda permuafakatan dan nilai-nilai integriti."

"DAP sendiri masih bergelut dengan krisis kepercayaan di dalam blok pembangkang, di manakah manifestasi pemikiran yang dicanang Kit Siang?," ujar Rahman yang juga Pengerusi Biro Kepenggunaan Pemuda UMNO.

Tambahnya, beliau selaku barisan pelapis kepimpinan muda UMNO sentiasa menjadi jentera pendesak ke arah memantapkan urus tadbir dan gerak kerja seiring perubahan zaman.

Dalam satu ucapan kepada pemimpin DAP Perak di Ipoh pada Isnin malam, Kit Siang mahu DAP menggandakan usaha untuk menggalakkan orang Melayu dan Islam yang sealiran pemikiran dan cita-cita untuk menyertai parti itu "demi Malaysia yang bersatu, harmoni, inklusif, progresif, adil dan makmur".