Cadangan pembangkang untuk mengadakan sidang tergempar Parlimen bagi membincangkan saman sivil terbaru dikemukakan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat bagi mendapatkan semula aset-aset yang didakwa diselewengkan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), adalah tidak perlu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ini kerana isu berkenaan adalah kesinambungan saman sivil yang lama dan perkara itu pernah dijawab dalam persidangan Parlimen yang lepas.

Tambahan pula, beliau berkata pembangkang turut mempunyai pelbagai platform lain pada sidang Parlimen bagi mengutarakan pelbagai isu.

"(Dan) sekarang ini kita ada lebih daripada sesi soal jawab. KIta ada 'Special Chamber' yang berlaku pada hari Isnin hingga Khamis dan kemudian kita ada Waktu Pertanyaan Menteri yang juga memberi peluang kepada mereka untuk tanya apa-apa soalan.

"Jadi bagi saya, apa gunanya sidang tergempar kalau mereka ada banyak platform untuk menimbulkan apa-apa isu dan mereka tidak pernah berhenti daripada menimbulkan apa-apa isu," kata Azalina kepada pemberita selepas program bersahur dan beramah mesra bersama anggota keselamatan di Pos Tanjung Sepang, dekat sini, pagi tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail semalam yang menuntut sidang tergempar Parlimen diadakan segera dan meminta agar usul berkenaan dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, Azalina berkata Perdana Menteri dijangka mengumumkan pengwujudan mahkamah jenayah seksual yang serupa di setiap negeri semasa perasmian mahkamah jenayah seksual pertama di Putrajaya minggu depan.

"Seperti yang pernah saya sebut dahulu, (pengwujudan) undang-undang jenayah seksual bererti kerajaan begitu serius dalam menangani masalah jenayah seksual kanak-kanak dan mahkamah ini, harapan saya akan memberi pengkhususan kepada hakim dan juga pendakwa raya dalam elemen-elemen kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak," katanya.

Beliau juga berharap agar mahkamah seupama ini dapat diwujudkan serentak di setiap negeri memandangkan mahkamah di Putrajaya akan mengendalikan kes-kes di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Terdahulu, Azalina turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada petugas keselamatan di Pos Tanjung Sepang. Hadir sama Pegawai Memerintah Regimen Kedua Atileri Diraja Lt Kol Mohd Nasrun Ismail.

-- BERNAMA