Pengarah Operasi Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kemenangan BN malam ini adalah kerana tiga faktor utama.

Beliau berkata pertamanya, adalah rekod cemerlang Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, yang juga Ketua Menteri Sarawak Kelima, di kawasan DUN yang diwakilinya.

"Pengundi mengingati dan menghargai sumbangannya yang banyak. Mereka mahu balunya Datuk Amar Jamilah Anu untuk meneruskan legasi beliau," kata beliau pada sidang media di Pusat Masyarakat Lundu selepas keputusan PRK itu diumumkan.

BACA: PRK Tanjong Datu: Jamilah jadi pilihan, BN menang majoriti lebih besar

BACA:
PRK Tanjong Datu 'pemanas badan' menjelang PRU - SPR

"Kedua, kualiti peribadi Jamilah sendiri sebagai pengganti. Beliau dilihat sebagai calon yang paling layak untuk menggantikan beliau (Adenan).

Beliau selama ini sering menemani Adenan dalam hampir semua lawatannya di kawasan dan mempunyai pengetahuan yang baik mengenai aspirasi dan keluhan rakyat, " kata beliau.

Wan Junaidi yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata penglibatan kesemua parti BN dan terutamanya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah satu lagi faktor.

"PBB daripada peringkat akar umbi sehingga pemimpin atasannya termasuk wakil rakyat yang dipilih dan setiausaha politik telah bekerja dengan teratur dengan cara sepatutnya.

Beliau berkata mereka telah memberi penjelasan kepada rakyat terutamanya dalam isu hak tanah adat selain daripada mendengar keluhan mereka.

Beliau berkata sayap wanita juga telah memainkan peranan mereka dengan baik menerusi kunjungan dari rumah ke rumah.

Wan Junaidi juga berkata lawatan pemimpin teratas negara seperti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selain Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg telah banyak meyakinkan pengundi untuk terus memberi sokongan kepada BN.

Jamilah mendapat 6,573 undi untuk menang dengan majoriti 6,443.

Dua orang pencabar beliau hanya mendapat undi yang digabungkan sebanyak 238 undi. Terdapat 80 undi rosak.

Wan Junaidi berkata walaupun beliau secara peribadi meramalkan peratusan keluar mengundi sebanyak 72 peratus, peratusan keluar mengundi kali ini hanyalah 69.2 peratus yang agak mengecewakan beliau.

Mengenai prestasi buruk dua pencabar Jamilah, Rapelson Richard Hamit daripada Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru dan Johnny Aput daripada Parti Reformasi Sarawak (STAR), beliau berkata hari untuk parti politik kecil telah berakhir buat Sarawak.

"Mereka datang dari luar kawasan. Mereka muncul secara tiba-tiba dalam pilihan raya kecil. Mereka tidak dikenali pengundi, mereka juga menggunakan isu yang tidak relevan. Mereka bukannya ahli politik yang serius," katanya.

Rapelson mendapat 130 undi manakala Johnny memperoleh 108 undi dan kedua-dua mereka kehilangan deposit masing-masing.

--BERNAMA