Tiga perkara akan menjadi tumpuan kerajaan negeri Selangor termasuk penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh 100 hari.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, apa sahaja yang telah dijanjikan sebelum ini akan dilaksanakan sebaik mungkin.

"Bagi saya tiga perkara akan diberi tumpuan bermula minggu hadapan.

"Pertama, kita akan menjalin erat hubungan kerajaan negeri dan persekutuan, lebih-lebih lagi apabila pentadbiran persekutuan di bawah Pakatan Harapan.

"Kedua, kita akan membincangkan cara terbaik bagi mengatasi masalah kos sara hidup dan ketiga dan yang utama adalah penghapusan GST dalam tempoh 100 hari," jelas beliau selepas mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar ke-16 Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada Jumaat.

Menurutnya lagi beberapa perkara lagi akan turut dibincang Rabu depan bersama barisan Ahli Jawatankuasa Negeri Selangor yang bakal dilantik Isnin ni.

"Ahad ini saya akan mempersembahkan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah senarai anggota exco kerajaan negeri.

"Selepas diperkenan pada Isnin, saya akan memanggil semua yang dilantik untuk berbincang mengenai hal ehwal pentadbiran negeri pada Rabu," jelasnya.

Tambah Mohamed Azmin, tiada penambahan portfolio dibuat dan mengekalkan 20 portfolio sebelum ini.

Pelantikan kali kedua Mohamed Azmin di kerusi menteri besar tersebut adalah susulan kejayaan besar Pakatan Harapan Negeri Selangor dengan memperoleh 'super majority' (majoriti besar) 51 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 20 kerusi parlimen pada PRU14 pada 9 Mei lalu.